PH, BN raih 74 peratus sokongan pengundi Selangor – Berita Harian

3 min read

SHAH ALAM: Pakatan Harapan (PH) dan Barisan Nasional (BN) memperoleh 74 peratus sokongan pengundi di Selangor berdasarkan tinjauan diadakan pada Mei lalu, dengan 68.6 peratus berpuas hati terhadap pentadbiran Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Menurut tinjauan itu yang dijalankan Institut Darul Ehsan (IDE), Perdana Menteri juga meraih 73.4 peratus persepsi positif daripada pengundi di Selangor, manakala 77 peratus pengundi bersetuju Kerajaan Perpaduan perlu diberi peluang mentadbir hingga tamat penggal Parlimen.

Sebanyak 39.9 peratus pengundi pula percaya Anwar mampu membawa pembangunan kepada negara, dan 17.6 peratus bersetuju Kerajaan Perpaduan mewakili semua kaum di Malaysia.

Pengerusi Eksekutif IDE, Prof Datuk Dr Mohammad Redzuan Othman, berkata tinjauan dijalankan dari 12 hingga 15 Mei lalu itu membabitkan 1,693 responden dan dilaksanakan mengikut pelbagai segmen pengundi di 54 Dewan Undangan Negeri (DUN) di Selangor.

Beliau berkata, tinjauan secara bersemuka itu mengadaptasi kaedah kajian pengundi di lapangan mengikut standard antarabangsa yang dilaksanakan di banyak negara.

“Kajian di 54 DUN itu membabitkan demografi penduduk dari segi jantina, umur, bangsa dan kecenderungan politik.

“Berdasarkan keputusan tinjauan serta kajian itu, didapati PH memperoleh 58 peratus sokongan dan BN meraih 16 peratus, manakala Perikatan Nasional (PN) pula 16 peratus,” katanya pada taklimat media di IDE, di sini, hari ini.

Seterusnya, keputusan itu juga menunjukkan PKR adalah parti dalam PH yang mendapat sokongan tertinggi dengan 30 peratus, DAP (22 peratus) dan AMANAH (empat peratus).

Parti Ikatan Demokratik Malaysia (MUDA) meraih dua peratus sokongan.

Bagi BN, UMNO memperoleh 12 peratus sokongan, meningkat sedikit berbanding keputusan Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15), manakala MCA dan MIC masing-masing meraih dua peratus sokongan.

Tinjauan ke atas pengundi kali pertama yang berusia 18 hingga 24 tahun pula mendapati 50 peratus menyokong PH, BN (12 peratus) dan PN (18 peratus).

Sementara itu berdasarkan simulasi keputusan kerusi Parlimen pada PRU15, pertandingan di 53 kerusi DUN di Selangor dijangka berpihak kepada PH, manakala hanya tiga diramalkan bakal dimenangi PN membabitkan Selat Klang, Sijangkang dan Morib.

Tinjauan sama juga mendapati sekiranya berlaku pertandingan dua penjuru, jumlah pengundi yang menyokong PH adalah 58 peratus, manakala PN hanya memperoleh 16 peratus sokongan dan pengundi atas pagar dicatatkan pada kadar 26 peratus.

Mohammad Redzuan berkata, berdasarkan aliran tinjauan PRU15 dan Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14), pengundi atas pagar biasanya akan membuat keputusan dalam tempoh 48 jam sebelum hari mengundi serta mengundi parti yang dirasakan memberi kelebihan kepada mereka.

Beliau menjelaskan, pengundi atas pagar juga menjadi penentu keputusan pilihan raya kerana mereka mewakili 42.6 peratus pengundi di Selangor, berbanding hanya 11.9 peratus pengundi menjadi ahli parti politik dan 45.1 peratus pengundi yang menjadi penyokong parti politik.

Sebanyak 52 peratus pengundi yang berdaftar dengan parti politik adalah ahli PH, diikuti PN (24 peratus) dan BN (20 peratus).

Mengulas sokongan pengundi kepada Perdana Menteri pula, beliau berkata, sebelum ini Anwar sukar mendapatkan sokongan ketika menjadi pembangkang, malah untuk mencapai 50 peratus sokongan juga sukar.

Katanya, mana-mana pemimpin pun jika menjadi kerajaan, sokongan semakin meningkat, malah golongan Undi18 juga menyokong.

“Aliran sama kita lihat pada pengundi atas pagar yang mana mereka biasanya memberi undi kepada parti yang menguasai kerajaan yang mana ia berlaku pada PRU15 apabila PN mendapat sokongan besar Undi18.

“Ini ada kaitan dengan satu keunikan mengenai Malaysia kerana siapa pun yang menjadi kerajaan, penjawat awam dan pentadbiran awam terus berjalan seperti biasa. Cuma ada perubahan dari segi beberapa dasar sesuai dengan manifestasi pilihan raya dan perjuangan parti.

“Satu lagi ialah perubahan pentadbiran negara berjalan dengan baik tanpa huru-hara atau titisan darah siapa pun yang dipilih rakyat pada pilihan raya,” katanya.

Dalam perkembangan berkaitan, berdasarkan tinjauan keterujaan pengundi terhadap PRN di Selangor, dijangka 86.6 peratus penyokong PH teruja untuk keluar mengundi, manakala penyokong BN pula 72.8 peratus dan PN 77.3 peratus.

Mohammad Redzuan percaya aliran itu dijangka berterusan dan berkemungkinan meningkat hingga 80 peratus berdasarkan situasi pada PRU15 yang menyaksikan 78.6 peratus dilaporkan keluar mengundi, beza tiga mata hasil tinjauan IDE seminggu sebelum hari mengundi pada tahun lalu.

Persepsi pengundi Selangor terhadap PH menyaksikan 74.1 peratus berfikiran positif dengan 31.6 peratus mengaku parti itu perlu diberikan peluang mentadbir negara dan 20.8 peratus percaya parti itu mewakili pelbagai kaum.

Bagi PN, hanya 41.1 peratus pengundi mempunyai persepsi positif, manakala 47.4 peratus mempunyai persepsi negatif dengan 28.4 peratus menyatakan mereka menganggap PN adalah parti yang gemar memainkan sentimen perkauman dan fitnah pada pilihan raya.

Sumber: Berita Harian

Kredit Foto: Malaysia Dateline

About Author

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.